Sunday, December 29, 2013

LOVe StOry :.

Bismilllahirrahmanirrahim



Semua orang ada kisah cinta masing-masing bukan?
Saya juga ada impian kisah cinta yang ingin dikongsi bersama.
Kisah Cinta yang ingin saya nukilkan buat sepanjang hayat serta berharap agar cinta itu terus mekar sehingga ke akhir hayat saya.

Mungkin kisah cinta saya berbeza perjalanannya dengan kamu dan dia.
Semestinya punya jalan yang berbeza, kerna Dia telah menukilkan perjalanan itu secara berbeza, agar kita punya kisah yang unik dan tersendiri untuk dikongsikan.^^

 

Baiklah, saya ingin mulakan ceritera saya.

Masing-masing sudah kenal As-Syahid Ammar bukan? Insan hebat yang namanya harum merentas benua. Di antara Asia dan Eropah. Mengundang ribuan insan untuk mendengar akan kisahnya. Sehingga mengundang cemburu pada perjuangannya. cemburu pada usaha sosok insan ini.
cemburu pada insan ini setepatnya.

Saya juga begitu. Cemburu pada dia. Cemburu pada kecintaannya pada pemilik hatinya.Cemburu pada getaran cinta dia kepada Pencipta.

Cinta dia buat saya termalu sendiri. Buat saya merenung kembali kecintaan saya kepada Khaliq.

Hari demi hari, saya cuba menelusuri akan erti cinta itu.
Pernah juga saya belajar erti cinta menerusi manusia, namun gagal menemui cinta yang saya cari.

Saya merenung kembali cinta di hati saya.

Hari tetap berlalu pergi, namun saya tidak menemukan cinta yang dicari-cari.

dan dengan izinNya, Allah memanggil dan menggerakkan hati saya untuk berfikir akan nikmat dan kasih sayangNya kepada saya.
Dalam saya mencari-cari akan bukti kecintaan yang sebenarnya.
Kecintaan yang bakal membantu saya menemui bahagia.

Dan saya juga terdetik untuk melihat pengorbanan para pecintaNya menerusi gambaran Sirah.
Mereka yang mencintai Ilahi dengan relung jiwa mereka sanggup berkorban apa sahaja.

Itu membuat saya terfikir lagi, cuba untuk menyambungkan titik persilangan antara keduanya.

Dan saya temui, Alhamdulillah.

Setelah berhari-hari saya mencari dan menyelongkar apa erti cinta.

Setelah hari demi hari saya kehilangan arah.

Apakah titik persilangan itu?

Dapat saya renungi, bahawa nikmat Allah kepada saya tak putus-putus sehingga hari ini. Sedang saya dalam kemaksiatan, Dia tetap mencurahkan nikmatNya kepada saya.
Dengan kasihNya, Dia yang menunjukkan jalan menuju kecintaanNya,
Dengan kasihNya, saya masih lagi mampu bernafas kerana bekalan oksigen yang Dia izinkan.

Saya malu pada kasihNya kepada saya.kerana saya insan yang berpalit dosa, tak putus-putus melakukan maksiat kepadaNya.

Setiap masalah yang saya hadapi, Dia bimbing saya menuju ke arah penyelesaian setelah saya mengadu kepadaNya.

Dia ajarkan saya hikmah menerusi ujian yang Dia kirimkan.

Saya mula bertatih untuk mengenali cinta itu.

Cinta yang membuatkan para pencinta sanggup berkorban demiNya.
membuatkan para pemcinta semakin taat dan dekat kepada Dia.

Cinta yang saya simpulkan sebagai Cinta antara Khaliq dan Makhluq.
                                                          Cinta antara Insan dengan Tuhannya.

Cinta yang begitu terindah sekali. Cinta yang Teragung sekali.

Cinta yang sehingga ke hari ini saya masih berusaha untuk menyemainya di hati.

Cinta kepada Ilahi.

Agar hati merasakan tiada lagi cinta seagung cintaNya.

Saya ingin cintakanNya, dan ingin Dia cintakan saya.

Saya cemburu kepada mereka yang telah berjaya mencintai Allah sepenuh hati.

Cemburu yang amat..Malu yang amat terhadap Ilahi, terhadap mereka, kerana diri ini belum berjaya meraihnya.

Ya Rabbi, Dekatkan kecintaanku kepadaMu.
Dan sambutlah kecintaanku ya Ilahi..

Cinta ini harus berterusan,
dan ku harap agar ia tidak berhenti di pertengahan jalan.

Kalian, doakan aku agar kisah cintaku ini berterusan.
Dan aku juga mendoakan kalian menemui perjalanan menuju kisah cinta kalian.

Aku masih belajar tentang cinta.
Masih belajar untuk mencintaiNya.
Masih belajar untuk mengajarkan hati untuk mencintaiNya.

Dan aku tidak sanggup kehilangan cintaNya.

Kerana aku cinta kepada Dia, aku mencintai kalian.

insan hina lagi kerdil yang sedang menapak perjalanan menuju cinta setelah Dia menunjukkan arah.

No comments:

Post a Comment